Gerakan Pengundi Sedar (GPS) adalah satu gerakan yang ditubuhkan pada Oktober 2017 atas kesedaran bahawa rakyat memerlukan penunjuk arah untuk menghadapi Pilihanraya ke-14. Namun, gerakan kami tidak terhenti setakat itu sahaja. Malah, peranan kami semakin besar pada era Malaysia Baharu ini.
Situasi politik semasa menyebabkan rakyat semakin pening dan celaru. Ada parti yang kebanyakan pemimpinnya mengamalkan rasuah, ada parti yang memperjuangkan keadilan untuk individu atau kepentingan keluarga tertentu, ada parti yang berjuang untuk menghapuskan status bumiputra dan institusi agama Islam.
Kebanyakan individu di dalam parti-parti ini tidak berjuang untuk rakyat dan tidak bertindak untuk memelihara perlembagaan negara. Tetapi setelah dipilih pada PRU yang lepas, mereka lupa diri dan merasakan diri mereka kebal. Di ambang PRU akan datang, mereka menjadi lemah dan cuba mengampu rakyat sekali lagi untuk dipilih buat penggal yang seterusnya.
GPS berperanan untuk memberikan rakyat informasi tentang isu-isu politik yang mencancam negara, prestasi ahli-ahli politik negara serta musim pilihanraya kecil atau umum pada masa akan datang.